09 November 2009

Kursus Pegawai Pusat Sumber



Kursus bermula hari ini mulai 8.30 pagi hingga 5 petang selama empat hari. Seramai 12 orang JawatanKuasa Pusat Sumber Sekolah bersama 25 orang Pengawas Pusat Sumber Seri Kampar akan mengikuti kursus yang dinamakan Kursus Bantu yang dikendalikan oleh Pusat Kegiatan Guru (PKG) Kampar dan beberapa orang Urusetia Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP).

Walaupun saya sibuk dengan pengurusan kelas dan semakan kertas peperiksaan, saya tidak ingin ketinggalan mengikuti kursus ini untuk meningkatkan profesionalisma perguruan.

08 November 2009

Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu 2010

Selamat datang ke SMK Seri Kampar!

Dah ke Sekolah Menengah anak aku nih...!

Isy...Macam mana gamaknya Cikgu-Cikgu di sini ...??


Pelajar Tingkatan satu tahun hadapan telah mula mendaftar diri di Seri Kampar. Mereka terdiri daripada pelajar beberapa buah sekolah rendah sekitar Kampar. Antaranya dari SK Bukit Pekan, SK Air Hitam Labu, SK Kampar, SK De La Salle dan SRJK Tamil Kampar.

Program yang dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi telah dimulakan lebih awal kerana kehadiran pelajar dan ibu bapa mereka yang begitu ramai datang seawal 7.30 pagi lagi. Tuan Pengetua telah menyampaikan ucapan aluan sebagai salam perkenalan diri . Beliau juga mengucapkan terima kasih kerana kehadiran ibubapa dan mengharapkan kerjasama semua pihak dalam menjayakan program pendidikan anak-anak.

31 October 2009

Malam Sekalung Budi







Semalam sekolah saya meraikan pelajar-pelajar Seri Kampar yang menaikkan nama sekolah di persada negara. Mereka yang mewakili sekolah dalam bidang ko kurikulum di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan telah menerima anugerah berupa sijil dan medal.

Pengarah Pelajaran Perak, Tn Hj Radhi Jabar yang djadualkan merasmikan majlis tidak dapat datang kerana keletihan. Beliau yang merupakan bekas pengetua Seri Kampar melalui minggu yang sibuk ekoran kematian tiga orang pelajar dalam tragedi jambatan Kuala Dipang yang runtuh minggu lepas.

Mantan Pengetua, Pn Hjh Rohani telah menggantikan beliau menyampaikan ucaputama dalam acara pembukaan. Program yang di adakan setiap tahun itu diserikan dengan persembahan pelajar dan cabutan bertuah disamping jamuan makan malam yang menyelerakan.

22 October 2009

Tetamu dari Kedah

Guru-guru menjamu selera

Melawat bilik kuliah. Fuh! teringat masa kat u dulu....!

Ketua rombongan menyantuni sahabat

Sesi wajib sebagai bukti lawatan!...pastikan nampak tag Seri Kampar tu yea!

Terima kasih semua...ucapan Pengetua, Tn Hj Soriahidayat.

Semalam sekolah saya menerima pelawat yang terdiri daripada guru-guru tingkatan enam dari SMK Labu Besar Kulim dan SMK Sg Kob, Kulim, Kedah. Rombongan itu diketuai oleh Pn Sarabanu bt Mamat, PK SMK Labu Besar. Rombongan itu datang untuk meninjau perlaksanaan kelas Tingkatan Enam yang mengalami perubahan besar ekoran penstrukturan semula kelas Pra- Universiti itu. Seri Kampar yang telah memulakan perubahan sejak ambilan 2009 dimana pelajar dan guru tingkatan Enam menyambung sesi tengahari dengan seminar , kolokium dan aktiviti ko-kurikulum sehingga 4 petang.

Sesi Taklimat yang dibuat oleh En Abd Kadir, Guru kanan Ko-Kurikulum Tingkatan Enam dan En Lim Kay Cheong , Guru Bidang Teknik dan Vokasional bermula dari jam 11 pagi hingga 1 tengahari. Banyak soalan yang dikemukakan hingga majlis berlarutan panjang.

Selepas makan tengahari yang disertai Tuan Pengetua, Tn Hj Soriahidayat, beliau menyampai sedikit ucapan aluan dan penghargaan atas kepercayaan pelawat. Sesi lawatan diteruskan dengan meninjau prasarana sekolah seperti kemudahan bilik kuliah ala Universiti, Pusat sumber digital , bilik pentadbir tingkatan enam dan kelas-kelas tingkatan enam. Majlis di akhiri dengan sesi fotografi.

16 October 2009

Wahid, isnani , salasa.....!

Nuha bersama kawannya Amirah

Anak saya Nuha Alisya (5 Tahun) yang belajar di kelas PASTI Kampar sangat suka ke kelas itu pada hari Rabu. Bila melihat jadual hari Rabu, ada Riadah...aha..sama seperti anak murid saya yang suka bila hari ada kelas PJK.

Saya membawa kamera ketika menghantarnya pada hari Rabu. Aktiviti yang dijalankan sangat menarik. Guru Nuha yang dipanggil Muaalimah mendidik sambil bermain. Mereka mengira pergerakkan senaman dalam 3 bahasa, BM, BI dan Bahasa Arab.

Semoga anakku membesar sebagai anak solehah.

Bonda patah kaki

Pada minggu lepas, saya bergegas pulang ke kampung apabila adik menelefon memberitahu ibu jatuh dan patah kaki kiri. Saya tidak sabar untuk pulang segera mengenangkan nasib ibu. Saya mengharapkan adik beradik yang terdekat membawa ibu ke hospital. Berita perkembangan kesihatan ibu saya ikuti melalui sms.

Bila saya sampai ke rumah, saya lihat kaki ibu telah siap disimen. Saya peluk dan mencium ibu kerana lambat sampai. Di wajah ibu saya lihat kesedihan yang menyelubungi diri. Saya pujuknya dengan memicit kaki kanannya yang lenguh kerana tidak dapat bergerak.

"Ini ujian Allah...bila Allah sayang kita, kita akan menerima ujian." pujuk saya.

Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara saya dan ipar yang turut membantu. Ramai saudara -mara yang jauh dan dekat datang menziarahi ibu. Kunjungan yang tidak putus-putus itu meletihkan ibu. Saya lihat dia terhibur dengan kedatangan mereka. Ikatan kekeluargaan semakin kuat.

09 October 2009

Jamuan Hari Raya Sesi Petang


Majlis Jamuan Hari raya yang diadakan pada sesi petang ini adalah sumbangan guru-guru sandaran yang dapat gaji backdated dan staff sesi petang. Alhamdulillah. Dapat rasa lemang lemak manis buatan Cikgu Mansor. Saya siap order 2 batang untuk di bawa pulang ke kampung.

Apa yang menarikya ialah kehadiran mantan pengetua, Hjah Rohani yang datang bersama suaminya. Sempat juga saya berborak dengan suami beliau.

"Dua-dua udah pencen..buat apa sekarang?" Saya memulakan bicara.

"Ada kebun ... tanam pokok skit..". Ujar beliau.

"Tanam kelapa sawit ke?" Tuan Hj Soriahidayat, pengetua baru saya cuba menduga.

" Getah". Katanya.

"Ha..kalo dekat lebuhraya takleh menoreh esok!" saya cuba buat kelakar. Tn Hj Soria udah mencium kelakar tu...

" Nanti orang nak pi menoreh akan patah balik!" katanya.

"Naper?" Tanya suami Pn Hjh Rohani

" Sebab ada signboard DILARANG MEMOTONG!", Ujar beliau diikuti dengan deraian ketawa...

Tetamu lain hairan melihat kami ketawa sambil menikmati lemang dan buah rambutan.



08 October 2009

Latihan Bola Sepak

Sesi mengendurkan kaki.


Bersama rakan sepasukan.. Cikgu Rafidi dan Cikgu Ayob

Petang tadi saya menyertai pasukan bola sepak PSKPP Daerah Kinta Selatan untuk latihan kali pertama di SMK Sentosa, Bandar Baru Kampar. Latihan itu adalah sebahagian dari persiapan PPD Kinta Selatan untuk menyediakan pasukan ke Pertandingan Sukan Pegawai Pendidikan Perak. Pertandingan peringkat negeri akan di adakan di padang ITM Seri Iskandar, Bota pada 13 - 15 November 2009.

Sudah lama saya tidak turun padang yang besar untuk bermain bolasepak 11 sepasukan. Sebelum Ramadhan saya ada juga menyertai Pertandingn Futsal dan pasukan saya menjadi Johan. Gelanggang Futsal yang kecil sesuai untuk saya yang sudah berumur. Tempoh masa bermain juga pendek dan pemain boleh keluar masuk untuk berehat.

Apabila bermain di padang yang besar, ramai kawan-kawan saya yang pancit. Saya juga rasa amat letih tetapi menyembunyikan keletihan itu kerana malu kepada pemain yang lebih berumur. Kami hanya bermain setengah jam sahaja kerana ramai yang tidak dapat meneruskan permainan.

Selesai bermain Cikgu Ayub mengajak pemain membuat cooling down. Saya menyertai beliau setelah beliau berleter. ." Masa bawa pasukan sekolah, riuh cikgu marah bebudak yang tak buat cooling down...nanti sakit, sapa susah? Isteri korang jugak!!".

Rasanya betul cakap cikgu Ayub. Ingatkan malam ini saya pasti tidur awal kerana keletihan. Tetapi sebaliknya pulak, saya rasa segar dan bersemangat!

07 October 2009

Bihun Sup Kedah




Ramai pelajar yang getik bila saya kerap menggunakan contoh dari Kedah apabila memperihalkan sesuatu. Walaupun saya dilahirkan di Pantai Remis, Negeri Perak, namun saya membesar di negeri Jelapang Padi itu. Banyak perkara nostalgia yang membuatkan saya sering menyebutnya seperti budaya menziarahi kaum ibu yang baru bersalin dan memberi wang kepada baby.

Selera saya juga berbeza. Saya sering rindukan masakan ala Kedah seperti Bihun sup Kedah yang saya sering kunjungi di kedai makan bawah Pasaraya Target Kampar. Pemilik kedai, En Fisol berasal dari Tandop, Alor Setar Kedah.

Entah apa ramuan yang digunakan, hingga saya sukar melepaskannya apabila singgah di kedai itu. Saya juga sering membawa isteri untuk menikmati bihun sup di kedai En Fisol ini.

Ziarah kematian isteri sahabat

Cikgu Sabri Harun.


Pagi ini saya dikejutkan dengan berita kematian isteri sahabat saya, cikgu Sabri Harun dari SMK Malim Nawar. Isterinya, Cikgu Faridah berumur 45 tahun telah lama mengidap penyakit barah. Beliau mengambil cuti sejak bulan April untuk mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur.

Kira-kira pukul 11.00 malam tadi keadaan Cikgu Faridah agak tenat dan dikejarkan ke Hospital Ipoh. Kira-kira pukul 3 pagi beliau tidak sedarkan diri dan menghembus nafas yang terakhir 2 jam kemudian.

Allahyarham yang mengajar di SK Methodist Malim Nawar meninggalkan 3 orang anak.Anak kecil berusia 9 tahun dan anak ketiga berusia 13 tahun. Anak kedua mereka, Mohd Syafik telah pergi lebih dahulu dalam kemalangan jalanraya dua tahun lepas . Semoga Cikgu Sabri tabah menerima ketentuan tuhan ini.

Ketika saya bersama-sama Cikgu Sabri bertugas sebagai Pengadil Bola Baling MSS Perak di Slim River 4-5 tahun yang lalu, Mohd Syafik turut bermain untuk pasukan B12 tahun Kinta 2. Kematian Mohd Syafik meninggalkan kesan yang mendalam kepada Cikgu Sabri. Beliau yang juga Bendahari Persatuan Bola Baling daerah tidak lagi aktif dalam persatuan.

Ketika saya menziarahi keluarga En Sabri, anak sulung beliau yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Perlis belum tiba lagi. Jenazah akan dikebumikan selepas ketibaan anak sulung beliau kira-kira pukul 2 petang.

Semoga rohnya di cucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang bertaqwa. Al fatihah.