Followers

Selamat datang

Anda berada dalam blog Mencari Ilmu

21 May 2009

Malu pendinding Diri

Sifat malu adalah akhlak yang terpuji yang menjadi keistimewaan dalam ajaran Islam. Sifat malu dapat dibahagikan kepada tiga jenis:

1. Malu kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

2. Malu kepada diri sendiri.

3. Malu kepada orang lain.

Diceritakan oleh sahabat Abu Sa'id Al-Khudri, bahawa Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam apabila melihat sesuatu yang tidak disukainya, air muka Baginda akan berubah.

Di dalam sebuah hadis diceritakan yang bermaksud:
"Adalah Rasulullah Shallallahu 'Alaihi Wasallam lebih pemalu dari gadis-gadis pingitan. Bila melihat sesuatu yang tidak disukai, kami dapat mengetahui dari wajah Baginda." (Muttafaqun'alaih).

Seseorang akan merasa malu kepada Allah apabila tidak mengerjakan perintah-Nya serta tidak menjauhi larangan-Nya. Orang yang malu kepada Allah dengan sendirinya akan malu kepada diri sendiri. Ia juga akan malu untuk mengerjakan perbuatan salah sekalipun orang lain tidak melihat perbuatannya atau mendengar perkataannya.

Malu kepada Allah adalah malu bersumberkan keimanan dan keyakinan kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala yang bersifat sentiasa Melihat, Mendengar dan Mengetahui apa sahaja yang dilakukan oleh setiap hamba-Nya.

Malu adalah sebahagian daripada tanda kesempurnaan iman. Bahkan malu dan iman akan selalu hadir bersama-sama. Apabila salah satu hilang maka yang lain juga akan hilang.

Dalam kehidupan masyarakat hari ini jelas kepada kita bahawa perasaan malu itu sudah hampir diabaikan ramai orang. Di Klangan remaja, mereka tidak malu untuk berdua-duaan dengan pasangan yang bukan mahram. Malah ada yang saling bertepuk dan berpelukan dikhalayak ramai.

Ada yang tidak malu makan dan minum di kedai makan ketika umat Islam solat Jumaat di masjid. Jika waktu lain mungkin kita boleh katakan dia akan solat selepas makan, tetapi bagaimana pulak jika pada hari Jumaat?

Ramai juga umat Islam yang tidak malu mengunjungi kedai judi sehingga terpaksa pihak berkuasa mengadakan operasi menagkap mereka.

Jika budaya sifat malu itu kurang dihayati dikalangan masyarakat Islam sudah setentunya akan menyebabkan hilangnya nilai-nilai kemanusiaan yang terdapat dalam dirinya serta sanggup menurut hawa nafsu yang tidak terkendali. Sedangkan kita tahu sekiranya, kita menjaga dan memelihara sifat-sifat terpuji dalam kehidupan nescaya tidak akan berlaku gejala-gejala sosial atau perkara-perkara lain yang tidak diingini.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi memelihara sifat malu demi menjaga maruah dan harga diri yang dikurniakan Allah serta mempertahankan kualiti diri sebagai insan yang diciptakan oleh Allah dengan sebaik-baik kejadian.

1 comment:

  1. Alhamdulillah jika sudah ada sifat malu banyak perkara boleh kita hindarkan. Sebagai cikgu kita kadang-kadang kurang malu apabila kita abaikan mereka. Kelas lambat masuk, masa kelas balik rumah, masa meeting tak nampak muka. Itu juga tanggungjawab dan komitmen kita selaku guru dan pendidik. Tiada di sekolah atau di kelas biarlah ada alasan yang benar bukan buat-buat. Apa yang penting malu kita dengan Allah perlu disematkan dalam hati selalu. Rasa Allah sentiasa mengawasi kita, bukan Pengetua atau pentadbir lain, itulah ehsan.

    ReplyDelete