Followers

Selamat datang

Anda berada dalam blog Mencari Ilmu

09 November 2009

Kursus Pegawai Pusat Sumber



Kursus bermula hari ini mulai 8.30 pagi hingga 5 petang selama empat hari. Seramai 12 orang JawatanKuasa Pusat Sumber Sekolah bersama 25 orang Pengawas Pusat Sumber Seri Kampar akan mengikuti kursus yang dinamakan Kursus Bantu yang dikendalikan oleh Pusat Kegiatan Guru (PKG) Kampar dan beberapa orang Urusetia Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP).

Walaupun saya sibuk dengan pengurusan kelas dan semakan kertas peperiksaan, saya tidak ingin ketinggalan mengikuti kursus ini untuk meningkatkan profesionalisma perguruan.

08 November 2009

Pendaftaran Pelajar Tingkatan Satu 2010

Selamat datang ke SMK Seri Kampar!

Dah ke Sekolah Menengah anak aku nih...!

Isy...Macam mana gamaknya Cikgu-Cikgu di sini ...??


Pelajar Tingkatan satu tahun hadapan telah mula mendaftar diri di Seri Kampar. Mereka terdiri daripada pelajar beberapa buah sekolah rendah sekitar Kampar. Antaranya dari SK Bukit Pekan, SK Air Hitam Labu, SK Kampar, SK De La Salle dan SRJK Tamil Kampar.

Program yang dijadualkan bermula pada pukul 9 pagi telah dimulakan lebih awal kerana kehadiran pelajar dan ibu bapa mereka yang begitu ramai datang seawal 7.30 pagi lagi. Tuan Pengetua telah menyampaikan ucapan aluan sebagai salam perkenalan diri . Beliau juga mengucapkan terima kasih kerana kehadiran ibubapa dan mengharapkan kerjasama semua pihak dalam menjayakan program pendidikan anak-anak.

31 October 2009

Malam Sekalung Budi







Semalam sekolah saya meraikan pelajar-pelajar Seri Kampar yang menaikkan nama sekolah di persada negara. Mereka yang mewakili sekolah dalam bidang ko kurikulum di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan telah menerima anugerah berupa sijil dan medal.

Pengarah Pelajaran Perak, Tn Hj Radhi Jabar yang djadualkan merasmikan majlis tidak dapat datang kerana keletihan. Beliau yang merupakan bekas pengetua Seri Kampar melalui minggu yang sibuk ekoran kematian tiga orang pelajar dalam tragedi jambatan Kuala Dipang yang runtuh minggu lepas.

Mantan Pengetua, Pn Hjh Rohani telah menggantikan beliau menyampaikan ucaputama dalam acara pembukaan. Program yang di adakan setiap tahun itu diserikan dengan persembahan pelajar dan cabutan bertuah disamping jamuan makan malam yang menyelerakan.

22 October 2009

Tetamu dari Kedah

Guru-guru menjamu selera

Melawat bilik kuliah. Fuh! teringat masa kat u dulu....!

Ketua rombongan menyantuni sahabat

Sesi wajib sebagai bukti lawatan!...pastikan nampak tag Seri Kampar tu yea!

Terima kasih semua...ucapan Pengetua, Tn Hj Soriahidayat.

Semalam sekolah saya menerima pelawat yang terdiri daripada guru-guru tingkatan enam dari SMK Labu Besar Kulim dan SMK Sg Kob, Kulim, Kedah. Rombongan itu diketuai oleh Pn Sarabanu bt Mamat, PK SMK Labu Besar. Rombongan itu datang untuk meninjau perlaksanaan kelas Tingkatan Enam yang mengalami perubahan besar ekoran penstrukturan semula kelas Pra- Universiti itu. Seri Kampar yang telah memulakan perubahan sejak ambilan 2009 dimana pelajar dan guru tingkatan Enam menyambung sesi tengahari dengan seminar , kolokium dan aktiviti ko-kurikulum sehingga 4 petang.

Sesi Taklimat yang dibuat oleh En Abd Kadir, Guru kanan Ko-Kurikulum Tingkatan Enam dan En Lim Kay Cheong , Guru Bidang Teknik dan Vokasional bermula dari jam 11 pagi hingga 1 tengahari. Banyak soalan yang dikemukakan hingga majlis berlarutan panjang.

Selepas makan tengahari yang disertai Tuan Pengetua, Tn Hj Soriahidayat, beliau menyampai sedikit ucapan aluan dan penghargaan atas kepercayaan pelawat. Sesi lawatan diteruskan dengan meninjau prasarana sekolah seperti kemudahan bilik kuliah ala Universiti, Pusat sumber digital , bilik pentadbir tingkatan enam dan kelas-kelas tingkatan enam. Majlis di akhiri dengan sesi fotografi.

16 October 2009

Wahid, isnani , salasa.....!

Nuha bersama kawannya Amirah

Anak saya Nuha Alisya (5 Tahun) yang belajar di kelas PASTI Kampar sangat suka ke kelas itu pada hari Rabu. Bila melihat jadual hari Rabu, ada Riadah...aha..sama seperti anak murid saya yang suka bila hari ada kelas PJK.

Saya membawa kamera ketika menghantarnya pada hari Rabu. Aktiviti yang dijalankan sangat menarik. Guru Nuha yang dipanggil Muaalimah mendidik sambil bermain. Mereka mengira pergerakkan senaman dalam 3 bahasa, BM, BI dan Bahasa Arab.

Semoga anakku membesar sebagai anak solehah.

Bonda patah kaki

Pada minggu lepas, saya bergegas pulang ke kampung apabila adik menelefon memberitahu ibu jatuh dan patah kaki kiri. Saya tidak sabar untuk pulang segera mengenangkan nasib ibu. Saya mengharapkan adik beradik yang terdekat membawa ibu ke hospital. Berita perkembangan kesihatan ibu saya ikuti melalui sms.

Bila saya sampai ke rumah, saya lihat kaki ibu telah siap disimen. Saya peluk dan mencium ibu kerana lambat sampai. Di wajah ibu saya lihat kesedihan yang menyelubungi diri. Saya pujuknya dengan memicit kaki kanannya yang lenguh kerana tidak dapat bergerak.

"Ini ujian Allah...bila Allah sayang kita, kita akan menerima ujian." pujuk saya.

Saya mengucapkan terima kasih kepada saudara saya dan ipar yang turut membantu. Ramai saudara -mara yang jauh dan dekat datang menziarahi ibu. Kunjungan yang tidak putus-putus itu meletihkan ibu. Saya lihat dia terhibur dengan kedatangan mereka. Ikatan kekeluargaan semakin kuat.

09 October 2009

Jamuan Hari Raya Sesi Petang


Majlis Jamuan Hari raya yang diadakan pada sesi petang ini adalah sumbangan guru-guru sandaran yang dapat gaji backdated dan staff sesi petang. Alhamdulillah. Dapat rasa lemang lemak manis buatan Cikgu Mansor. Saya siap order 2 batang untuk di bawa pulang ke kampung.

Apa yang menarikya ialah kehadiran mantan pengetua, Hjah Rohani yang datang bersama suaminya. Sempat juga saya berborak dengan suami beliau.

"Dua-dua udah pencen..buat apa sekarang?" Saya memulakan bicara.

"Ada kebun ... tanam pokok skit..". Ujar beliau.

"Tanam kelapa sawit ke?" Tuan Hj Soriahidayat, pengetua baru saya cuba menduga.

" Getah". Katanya.

"Ha..kalo dekat lebuhraya takleh menoreh esok!" saya cuba buat kelakar. Tn Hj Soria udah mencium kelakar tu...

" Nanti orang nak pi menoreh akan patah balik!" katanya.

"Naper?" Tanya suami Pn Hjh Rohani

" Sebab ada signboard DILARANG MEMOTONG!", Ujar beliau diikuti dengan deraian ketawa...

Tetamu lain hairan melihat kami ketawa sambil menikmati lemang dan buah rambutan.



08 October 2009

Latihan Bola Sepak

Sesi mengendurkan kaki.


Bersama rakan sepasukan.. Cikgu Rafidi dan Cikgu Ayob

Petang tadi saya menyertai pasukan bola sepak PSKPP Daerah Kinta Selatan untuk latihan kali pertama di SMK Sentosa, Bandar Baru Kampar. Latihan itu adalah sebahagian dari persiapan PPD Kinta Selatan untuk menyediakan pasukan ke Pertandingan Sukan Pegawai Pendidikan Perak. Pertandingan peringkat negeri akan di adakan di padang ITM Seri Iskandar, Bota pada 13 - 15 November 2009.

Sudah lama saya tidak turun padang yang besar untuk bermain bolasepak 11 sepasukan. Sebelum Ramadhan saya ada juga menyertai Pertandingn Futsal dan pasukan saya menjadi Johan. Gelanggang Futsal yang kecil sesuai untuk saya yang sudah berumur. Tempoh masa bermain juga pendek dan pemain boleh keluar masuk untuk berehat.

Apabila bermain di padang yang besar, ramai kawan-kawan saya yang pancit. Saya juga rasa amat letih tetapi menyembunyikan keletihan itu kerana malu kepada pemain yang lebih berumur. Kami hanya bermain setengah jam sahaja kerana ramai yang tidak dapat meneruskan permainan.

Selesai bermain Cikgu Ayub mengajak pemain membuat cooling down. Saya menyertai beliau setelah beliau berleter. ." Masa bawa pasukan sekolah, riuh cikgu marah bebudak yang tak buat cooling down...nanti sakit, sapa susah? Isteri korang jugak!!".

Rasanya betul cakap cikgu Ayub. Ingatkan malam ini saya pasti tidur awal kerana keletihan. Tetapi sebaliknya pulak, saya rasa segar dan bersemangat!

07 October 2009

Bihun Sup Kedah




Ramai pelajar yang getik bila saya kerap menggunakan contoh dari Kedah apabila memperihalkan sesuatu. Walaupun saya dilahirkan di Pantai Remis, Negeri Perak, namun saya membesar di negeri Jelapang Padi itu. Banyak perkara nostalgia yang membuatkan saya sering menyebutnya seperti budaya menziarahi kaum ibu yang baru bersalin dan memberi wang kepada baby.

Selera saya juga berbeza. Saya sering rindukan masakan ala Kedah seperti Bihun sup Kedah yang saya sering kunjungi di kedai makan bawah Pasaraya Target Kampar. Pemilik kedai, En Fisol berasal dari Tandop, Alor Setar Kedah.

Entah apa ramuan yang digunakan, hingga saya sukar melepaskannya apabila singgah di kedai itu. Saya juga sering membawa isteri untuk menikmati bihun sup di kedai En Fisol ini.

Ziarah kematian isteri sahabat

Cikgu Sabri Harun.


Pagi ini saya dikejutkan dengan berita kematian isteri sahabat saya, cikgu Sabri Harun dari SMK Malim Nawar. Isterinya, Cikgu Faridah berumur 45 tahun telah lama mengidap penyakit barah. Beliau mengambil cuti sejak bulan April untuk mendapatkan rawatan di Kuala Lumpur.

Kira-kira pukul 11.00 malam tadi keadaan Cikgu Faridah agak tenat dan dikejarkan ke Hospital Ipoh. Kira-kira pukul 3 pagi beliau tidak sedarkan diri dan menghembus nafas yang terakhir 2 jam kemudian.

Allahyarham yang mengajar di SK Methodist Malim Nawar meninggalkan 3 orang anak.Anak kecil berusia 9 tahun dan anak ketiga berusia 13 tahun. Anak kedua mereka, Mohd Syafik telah pergi lebih dahulu dalam kemalangan jalanraya dua tahun lepas . Semoga Cikgu Sabri tabah menerima ketentuan tuhan ini.

Ketika saya bersama-sama Cikgu Sabri bertugas sebagai Pengadil Bola Baling MSS Perak di Slim River 4-5 tahun yang lalu, Mohd Syafik turut bermain untuk pasukan B12 tahun Kinta 2. Kematian Mohd Syafik meninggalkan kesan yang mendalam kepada Cikgu Sabri. Beliau yang juga Bendahari Persatuan Bola Baling daerah tidak lagi aktif dalam persatuan.

Ketika saya menziarahi keluarga En Sabri, anak sulung beliau yang sedang menuntut di Universiti Malaysia Perlis belum tiba lagi. Jenazah akan dikebumikan selepas ketibaan anak sulung beliau kira-kira pukul 2 petang.

Semoga rohnya di cucuri rahmat dan ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang bertaqwa. Al fatihah.

05 October 2009

Cikgu Idris bertukar

En Kadir PK F6 susah melepaskan En Idris!

Ustazah Hjh Wan Rusnaniah menyampaikan hadiah
dari Guru-Guru sesi petang dan Staff Pejabat


En Idris menyampaikan ucapan aluan di sekolah baru.

Pentadbiran Seri Kampar akan berwajah baru. Di samping pengetua baru yang hansome, tempat PK 1 juga bakal di isi oleh muka baru. PK 1 yang lama, En Idris telah dinaikan pangkat menjadi pengetua di SMK Dato' Panglima Perang kiri, Tapah Road. Beliau bukan pergi berperang..... tetapi mengembangkan kerjaya!

Majlis meraikan En Idris di adakan pada hari ini. Ia dimulakan dengan majlis ucapan di Dewan Besar, penyampaian hadiah dan cenderamata diikuti dengan jamuan perpisahan di kantin.

Kemuadian beliau di arak dengan kereta mewah bersama rombongan guru dan pentadbir dari Seri Kampar ke sekolah baru. Acara menghantar pengetua ke sekolah baru ini nampaknya menjadi budaya baru yang sangat menarik. Jika bulan lepas, rombongan Guru-guru dari SMK TIWA, Bt Gajah menghantar pengetua mereka ke Seri Kampar, kini amalan itu dibuat di Seri Kampar pulak. Di samping dapat mengenali rakan guru di sekolah baru, ia akan menjadi jambatan untuk terus menjalin hubungan profesional.

Kehilangan En Idris amat terasa sekali kerana sumbangan besarnya terhadap kemajuan sekolah dalam bidang akademik dan ko-kurikulum. Seingat saya, En Idris bertukar dari SMK Kampar sebagai Penyelia petang di Seri Kampar. Kemudian bintangnya cerah apabila mendaki hieraki jawatan di Seri kampar hingga bergelar Penolong Kanan. Beliau sangat aktif bersukan dan sangat hebat di gelanggng badminton. Pasangan regunya yang sukar dikalahkan ialah Sir Azhar. Beliau juga pernah bersama saya bermain futsal. Seperti bintang sukan yang hebat juga , beliau berehat setelah mengalami kecederaan . Saya tak pasti kecederaan di kaki atau di pinggang. Mungkin Sir Azhar boleh pastikan!

Kerana minatnya yang mendalam itu beliau sering bertanya khabar,turun padang melihat perlawanan penting membuatkan saya bersemangat apabila membawa pasukan sekolah bertanding di luar.

Dalam bidang akademik, ketrampilan En Idris tidak dapat disangkal lagi. Bersama-sama Pn Hjh Rohani dan Allahyarham En Azman Hussien, yang diganti dengan En Yahya, beliau membawa Seri Kampar ke arah kecemerlangan hingga mendapat pengiktirafan ISO. Antara kenangan manis bersama beliau ialah apabila pelajar Seri Kampar terkenal sebagai pelajar terbaik STPM peringkat kebangsaan.

03 October 2009

Syawal bulan ujian

Setelah 2 minggu melalui Syawal, mood raya masih membuak-buak, aku terfikir tentang tarbiah di madrasah Ramadhan. Jika di bulan Ramadhan, setiap malam aku dapat ketepikan semua urusan untuk bersama-sama meramaikan masjid untuk solat tarawikh berjamaah. Masa yang digunakan untuk menyelesaikan semuanya hanya di sekitar 2 jam atau 2 1/2 jam. Tak lama pun.

Kini Syawal benar-benar menguji. Bilangan jamaah menurun secara drastik. Aku juga sering miss.. kekadang letih di sekolah dan kekadang nak pi shoping untuk keperluan di rumah... Ada sahabat datang beraya menjelang maghrib. Dah tak sempat ke masjid kerana meraikan tetamu. Nak di ajak ke masjid, anak-anak rakan menjadi penghalang. Fuh!! UjianMu amat besar Ya Allah.

Jika di bulan Ramadhan, selepas sahur dapatlah ke masjid lebih awal untuk subuh berjamaah. Tetapi kini, jangan kata berjamaah, di rumah pun asyik subuh gajah! Anak-anak pulak dapat bangun awal jika hari sekolah. Jika hari cuti, jika tak dikejutkan, Subuh gajah pun terlepas!

Ya Allah, berikanlah kami kekuatan.

02 October 2009

Jamuan Aidil Fitri Sesi Petang

Udah try baju Deepavali !

" Selamat Hari raya.... Lepas nih periksa, tambah usaha untuk berjaya..."

"Saya Sokong penuh program seumpama ini.....ia mendidik pelajar adab dan memupuk semangat kerjasama. Ia menekankan pentingnya Modal Insan...". Pengetua.

Yang macam penceramah nih pengerusi majlis je tu!

Majlis jamuan Aidil Fitri untuk pelajar sesi petang berjalan lancar pada hari ini. Majlis diserikan dengan kehadiran Pengetua baru Seri Kampar, Tuan Hj Soriahidayat b. Muhammad. Majlis yang bermula 3.30 petang itu dipenuhi dengan ucapan aluan pentadbir sekolah dan jamuan bersama pelajar.

Program yang bertujuan merapatkan silaturrahim sesama pelajar dan guru ini juga disertai oleh kakitangan sokongan sekolah. Pelajar juga dapat mengenali pengetua baru dengan lebih dekat. Ucapan tuan pengetua yang banyak meberi nasihat dan motivasi kepada pelajar.

Pelajar yang hadir dengan pakaian baju raya begitu gembira menikmati jamuan yang dikelolakan oleh kelas masing-masing.


27 September 2009

Sahabat Lama



Seronok bercuti raya pada tahun ini kerana saya dapat berjumpa dengan sahabat lama yang terpisah hampir 24 tahun yang lalu. ketika itu kami bersekolah di Sekolah Men Sains Pulau Pinang yang bertukar nama kepada Sek Men Sains Tun Syed Syeh Shahabudin, Bukit Mertajam. Saya dengar nama sekolah itu popular di kalangan budak sekarang dengan nama Soksek sahaja!

Bila berjumpa En Azhar Ahmad, kini pegawai besar di kilang Philip Morris, Seremban dan En Abd Halim Murad, kini Guru di SMK Tunku Bendahara Jitra Kedah, saya rasa muda semula. Sambil mengimbau kenangan lama, kami dapat bertanya khabar kawan-kawan yang lain. Pertemuan singkat itu sangat bermakna buat saya. Ia bermula di Face Book dan kini kami telah dapat menghubungi 18 kawan lama.

26 September 2009

Hari terakhir sebelum Cuti raya

Pelajar bersalam dengan guru. Takder duit raya ke? nak pi rumah ler!

Yea..Aku dapat duit raya!

Isyy...sayang bucuk! Maaf ler yea.... Maaf Zahir Batin!!

Bersama pelajar yang menang anugerah pelajar mithali.

"Selamat Hari raya. Sampaikan salam kepada mak ayah...jangan main mercun yea..." Antara ucapan Ustazah Hjh Wan Rusnaniah, PK Petang.


Program penutupan Program Ehya' Ramadhan dipenuhi dengan Tazkirah, penyampaian Hadiah dan salam Raya.

Semua pelajar yang mengambil bahagian dalam pertandingan sempena Ehya' Ramadhan bergembira menerima duit raya dari Ustazah Hjh Rusnaniah, PK Petang.

12 September 2009

Majlis Khatam Quran






Hari ini sekolah saya mengadakan majlis khatam Quran yang melibatkan pelajar tingkatan 1 hingga 5. Ramai ibu bapa yang datang meraikan majlis. Majlis yang bermula selepas solat Asar itu dipenuhi juga dengan penyampaian hadiah kepada pemenang pertandingan Ehya' Ramadhan dan penyampaian bantuan kepada pelajar miskin dan anak yatim.


Di samping pengetua baru Tuan Haji SooriaHidayat, turut hadir ialah bekas pengetua Pn Hjjh Rohani yang datang bersama suami dan anak-anaknya. Kehadiran pelajar pula sangat menggalakkan.

Program diteruskan dengan bacaan Yassin sebelum berbuka puasa. Selepas solat maghrib , solat hajat pohon kejayaan pelajar dalam peperikssan juga di adakan. Majlis bersurai selepas solat Terawih.

08 September 2009

Tadarrus Al Quran






Program tadarus Al Quran berjalan lancar setiap hari mulai pukul 12.00 tengahari hingga 1.00 tengahari. Setiap kumpulan diberikan seorang guru yang mengawasi pembacaan pelajar. Kesungguhan setiap kumpulan jelas kelihatan apabila mereka menepati masa yang dirancang dan bersedia lebih awal.

Penglibatan guru-guru sesi petang juga amat menggalakkan. Setiap hari mereka akan setia menemani pelajar dan mngawasi kumpulan tadarus.

05 September 2009

Telatah Muaz



Anak saya yang ke-6 , Ahmad Muaz, 3 tahun, yang sudah pandai bercakap sering membuatkan saya tersenyum. Inilah agaknya budak zaman IT.

Bila inginkan alat mainan baru, pandai dia memujuk saya untuk segera membelikannya. Dengan menyusun ayat yang betul , dia akan memegang tangan saya dan memuji ayahnya hensome. bila menyedari umpan udah mengena, mulalah dia mengayat minta dibelikan mainan!

Petang tadi saya belikan dia 2 set kereta mainan. 6 kereta besar dan 6 lagi kereta kecil....semua dibolotnya. Siapa pun tidak boleh kongsi dengannya kerana dia yang pesan minta dibelikan.

Tazkirah Ramadhan





Program tetap pelajar sesi petang sepanjang bulan Ramadhan ialah Tadarrus Al Quran sebelum Zohor dan Tazkirah ketika waktu rehat. Penglibatan guru-guru sebagai pemantau semasa tadarrus sangat menggembirakan saya. Saya sendiri di amanahkan memenuhi slot tazkirah. Saya manafaatkan dengan sedikit info Islami dan kuiz mudah.

Suntikan ilmu secara santai itu nampaknya menarik minat pelajar yang tidak sabar menunggu waktu rehat. Disamping dapat mendengar tazkirah, mereka berpeluang mendapat hadiah berupa RM1 untuk setiap jawapan kuiz.

Program yang disusun oleh Ustazah Azizah dan PK Petang itu sangat penting dalam usaha menggalakkan 'budaya Ilmu'.

Terdapat pelajar yang datang berjumpa saya bertanyakan topik yang akan saya bawakan dalam tazkirah pada hari itu. Bila saya tanyakan sebabnya, mereka menjelaskan bila tahu topiknya, boleh baca dahulu, agar senang jawab soalan kuiz.