Followers

Selamat datang

Anda berada dalam blog Mencari Ilmu

22 June 2009

Selamat Hari Bapa

Pada hari ini aku ada program di Penang. Sebelah petangnya urusanku selesai. Aku bergegas ke Kedah, pulang kekampung untuk berjumpa ibu dan ayah tersayang. Dalam hatiku, sempena hari bapa, biarlah aku bersama mereka.

Sebaik sampai, wajah riang ayah ku lihat menyambutku di muka pintu. Wajah yang ku rindui. Setelah Zul, adik bongsuku berkahwin setahun yang lalu, mereka hanya tinggal berdua. Setelah mencium tangan kedut ayahku, aku ke dapur menemui ibu. Ibu terkejut dengan kepulanganku seorang tanpa diduganya. Kegembiraan mereka berdua terpancar . Betullah kata ustazku. Melihat wajah ibu dan ayah sudah mendapat pahala. Inikan pula menggembirakan mereka.

Ibu menghidangkan aku Milo panas dan kopi untuk ayah. Sejak kecil perutku tidak betah menerima kopi. Jika diminum juga, perutku akan memulas. Ibu faham benar. Tanpa ditanya, ibuku menceritakan perkembangan semasa di kampungku. Dari hal kenduri kahwin yang telah selesai ketika cuti yang lalu, sampai cerita sepupu ayah yang anaknya telah menjadi menteri. Ayah hanya tersenyum.

Aku lihat ayah telah keluar membawa gergaji tangan. Tidak lama kemudian ayah menjerit memanggil namaku. Bila keluar aku terkejut.Aku terkedu. Ayah berada di atas pokok rambutan. Biasanya aku yang rajin memanjat. Pada hari ini bahu kananku masih sakit kerana jatuh semasa pertandingan Futsal. Ayah tahu kesakitan yang ku tanggung ketika melihat aku berkedut muka menahan sakit ketika membuka baju. Tanganku sukar diangkat tinggi.

"Alih kereta tu...ayah nak potong dahan rambutan nih!"

Segera ku ubah kereta Livinaku dari bawah pohon rambutan jauh dari situ. Sebaik sahaja aku keluar dari kereta, ranting-ranting rambutan yang berbuah lebat gugur ke bumi. Ada yang masih hijau, banyak yang sudah masak kekuningan.

Petang itu, adik Zul pulang . Dia juga teringatkan ayah. Sejak bertugas sebagai guru JQaf di Bukit Selambau, Adik Zul dan isterinya tinggal bersama ayah mertuanya di Pendang. Dia memberitahuku rancangannya hendak membeli tanah lot untuk tapak rumah.

Kebetulan TV1 menyiarkan siaran langsung pertandingan Badminton Super Series di Indonesia. Kami berseronok menonton Datuk Lee Chong Wei menjuarainya mengalahkan Taufik Hidayat.

Apabila tamat siaran langsung itu, aku meminta izin untuk pulang. Ayah telah menyediakan aku seguni rambutan dan beberapa biji buah nangka. Semasa bersalam, aku hulurkan sedikit 'buah tangan'. Ayah menolaknya kerana dia tahu belum tiba hari gaji. Aku bertegas supaya ayah menerimanya tanda penghargaan sempena hari bapa.

No comments:

Post a Comment